LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
Zatul Iffah Zolkiply


POLIS Terengganu menangguhkan pelaksanaan sistem penggiliran nombor pendaftaran kenderaan di atas jalan raya yang sepatutnya bermula esok.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, keputusan itu dibuat kerana pengurusan tertinggi di Bukit Aman mahu membuat kajian lebih lanjut dan penyelarasan.

“Perancangan kita untuk melaksanakan sistem itu sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Ke-2 bermula esok terpaksa ditangguhkan kerana memerlukan kajian impak yang lebih terperinci.

“Banyak komen yang kita terima, ada yang baik ada yang tidak menyenangkan, justeru saya dengan ini mengesahkan bahawa pelaksanaan penggiliran nombor plat kenderaan esok pagi terpaksa kita tangguhkan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Sebelum ini, polis Terengganu mengumumkan akan melaksanakan sistem penggiliran nombor pendaftaran kenderaan bagi mengurangkan pergerakan kenderaan di negeri ini.

Langkah itu diambil bertujuan memperketatkan lagi PKP Fasa Ke-2 yang bermula esok, dan pelaksanaannya dijangka dapat mengurangkan 50 peratus jumlah kenderaan di atas jalan raya termasuk motosikal.

  • Keluar ikut nombor pendaftaran kereta
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 8:29 PM