Suraya Roslan


SEMUA rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara wajib menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin khas ditetapkan kerajaan berkuat kuasa 3 April.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaik tiba di lapangan terbang, mereka akan dibawa terus menggunakan bas ke pusat kuarantin dan disaring oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengetahui status kesihatan.

“Jadi saya nasihatkan kaum keluarga tidak perlu ke lapangan terbang menyambut ahli keluarga yang pulang dari luar negara kerana mereka akan terus dibawa ke pusat kuarantin,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, banyak negara yang bertambah kes positif Covid-19 disebabkan kepulangan rakyat mereka dari luar negara seperti Wuhan yang pada mulanya dapat mengawal kes kini dimaklumkan kembali merebak.

“Kita faham ramai rakyat kita terkandas di luar negara ingin pulang ke Malaysia walaupun kita sudah menasihatkan sekiranya mempunyai rumah di sana, boleh berada di rumah masing-masing.

“Bagaimanapun, mesyuarat hari ini membuat ketetapan setiap rakyat kita pulang dari luar negara perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di beberapa tempat dikhaskan oleh kerajaan,” katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di lapangan terbang, mereka akan dibawa terus ke pusat kuarantin, disaring dan dilihat status kesihatan yang akan dikendalikan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semua pesawat membabitkan penerbangan komersial, pesawat disewa atau misi membawa pulang rakyat Malaysia ke negara ini,” katanya.

PASUKAN Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan nyahcemar di dalam pesawat khas di Lapanan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). IHSAN BOMBA
PASUKAN Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan nyahcemar di dalam pesawat khas di Lapanan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). IHSAN BOMBA

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan menerima aduan terdapat kekangan untuk barangan keperluan asas memasuki kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

“Mesyuarat memutuskan tentera akan menggunakan aset mereka seperti helikopter untuk menghantar bekalan makanan ke kawasan pedalaman di dua negeri itu.

“Jadi mereka di sana jangan khuatir kerana kerajaan akan memastikan bekalan makanan mencukupi,” katanya.


Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan, semua konsesi lebuh raya bersetuju untuk tidak mengenakan sewa kedai kepada penyewa di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) seluruh negara dalam tempoh enam bulan.

“Berita baik kepada penyewa gerai di lebuh raya, walaupun tidak banyak kenderaan melalui lebuh raya ketika ini tetapi mereka masih perlu membayar sewa.

“Jadi semua pihak pengurusan konsesi lebuh raya bersetuju mengecualikan sewa kedai selama enam bulan kepada mereka,” katanya.


  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 8:44 PM