FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menangguhkan potongan pendapatan peneroka bagi semua jenis pinjaman kebun dan sosioekonomi untuk membantu golongan itu berhadapan dengan wabak Covid-19.

Pengarah Besar Felda Datuk Dr Othman Omar berkata, tempoh penangguhan ini bermula daripada penyata pendapatan April hingga Jun iaitu melibatkan hasil bulan Mac hingga Mei, namun ia tidak melibatkan potongan Kedai D’Mart dan Jabatan Kemajuan dan Keselamatan Rancangan.

“Ia diberi secara automatik kepada semua peneroka tanpa permohonan kepada pengurusan Felda.

“Potongan yang ditangguhkan ini akan dijadualkan semula selepas tamat tempoh penangguhan. Inisiatif ini bakal memberi manfaat kepada lebih 92,000 peneroka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, agensi berkenaan juga mengambil langkah proaktif menyediakan Pusat Makanan Komuniti Rancangan untuk membantu warga peneroka yang mengalami kesulitan, cabaran serta kekangan dari segi kewangan akibat Covid-19.

Ia dilaksanakan hasil inisiatif Jawatankuasa Perunding Peneroka bersama Jabatan Pembangunan Peneroka dan Komuniti.

Maklumat lanjut tentang penangguhan potongan pendapatan peneroka dan sebarang persoalan boleh dimajukan ke alamat emel [email protected] atau ke peti masuk Facebook Felda.

Selain itu, Othman berkata, sebagai usaha untuk meringankan beban kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dalam melakukan persiapan bagi menampung pesakit Covid-19 yang dijangka meningkat pada pertengahan April ini, Felda turut menawarkan asramanya untuk dijadikan sebagai pusat kuarantin.

Ia melibatkan tiga asrama di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuantan di Pahang; tiga pusat latihan iaitu di Kuala Lumpur, Kerteh di Terengganu dan Chini di Pahang dan empat buah Felda Residence iaitu di Tanjung Leman di Johor, Sugai Tekam di Pahang, Trolak Perak dan Felda Sahabat di Sabah.

Kesemua fasiliti ini mempunyai kelengkapan yang bersesuaian bagi pusat kuarantin dan boleh menampung seramai lebih 1,500 pesakit.

Pada masa kini, Felda Sahabat diaktifkan sebagai pusat kuarantin yang menampung seramai 52 pesakit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 9:21 PM