DUA wanita terbabit. FOTO Zuliaty Zulkiffli
DUA wanita terbabit. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


DUA wanita memberi alasan hanya bersiar-siar di Kuala Kedah ketika ditahan polis kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Mereka dikatakan menunggang motosikal tanpa tujuan sebelum ditahan dalam operasi yang dilakukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira 6 petang di Kuala Kedah.

Hasil pemeriksaan, kedua-dua wanita itu berusia 21 dan 22 tahun.

Malah, seorang berasal dari Sungai Petani, manakala seorang lagi menetap di Alor Setar.

Turut ditahan dalam operasi itu, 16 lelaki berusia antara 21 hingga 60 tahun yang didapati berkumpul di beberapa kawasan di Kuala Kedah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, jumlah keseluruhan tangkapan semalam adalah seramai 21 orang.

Beliau berkata, mereka gagal memberi sebarang alasan munasabah berkeliaran dan berkumpul di luar ketika PKP.

“Kebanyakan mereka tahu sepatutnya tidak boleh keluar pada waktu begini kerana PKP ini dilaksanakan sebagai langkah untuk mengelak dijangkiti Covid-19.

“Mereka yang ditahan tinggal di kawasan pinggir bandar dan tahap kesedaran mereka agak kurang berbanding mereka yang tinggal di kawasan bandar,” katanya ketika ditemui di IPD Kota Setar, malam tadi.

Mohd Rozi berkata, kesemua mereka ditahan di lokap IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 8:43 AM