PETUGAS memeriksa suhu badan orang awam. FOTO Eizairi Shamsudin
PETUGAS memeriksa suhu badan orang awam. FOTO Eizairi Shamsudin
Zatul Iffah Zolkiply


PEKERJA industri minyak dan gas yang sihat serta bebas daripada sebarang penyakit sahaja dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, mereka yang bertugas khususnya di pelantar minyak perlu menjalani ujian saringan ditetapkan.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 4,000 pekerja dalam industri berkenaan di 40 pelantar minyak di Terengganu menyebabkan pihaknya mengetatkan pergerakan keluar masuk pekerja bagi mengekang penularan Covid-19.

“Mereka ini perlu disaring di pelantar dan darat dengan pemantauan dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Apabila KKM lulus semua, tidak ada masalah untuk mereka berjumpa dengan keluarga, kita bagi kebenaran balik dan syarikat akan mengeluarkan satu surat mengatakan mereka ini tidak ada apa-apa sakit.

“Sudahlah dua minggu di laut, sampai di darat kena kuarantin lagi dua minggu dan baru dibenarkan pulang ke rumah sebelum kembali bekerja.

“Jadi apa yang kita lakukan demi menjaga kebajikan, sekurang-kurangnya ia dapat memberi sokongan moral kepada mereka yang kita sedia maklum berjauhan dengan keluarga,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri demonstrasi penyahkuman petugas-petugas Op Covid-19 di Khemah Sanitasi (Disinfection) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di Kuala Terengganu, petang semalam.

Sebelum ini, notis dikenali sebagai borang kod utusan polis yang menyatakan pekerja-pekerja pelantar minyak yang selesai bertugas tidak dibenarkan pulang dalam tempoh PKP tular di laman sosial terutama menerusi aplikasi WhatsApp sejak minggu lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 9:40 AM