X
Pelindung muka dihasilkan oleh warga PKB. FOTO Ihsan PKB
Pelindung muka dihasilkan oleh warga PKB. FOTO Ihsan PKB
Siti Rohana Idris


POLITEKNIK Kota Bharu (PKB) menghasilkan 630 unit pelindung muka buatan sendiri dan diagihkan kepada petugas barisan hadapan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Penyerahan dibuat semalam oleh Pengarah PKB, Kamaludin Daud kepada Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Peralatan yang dihasilkan dari plastik menggunakan pencetak tiga dimensi (3D) dan dicetuskan oleh dua kakitangan PKB iaitu Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Zuhairy Zahari dan seorang pensyarah, Ishamzuri Abdullah.

Kamaludin berkata, penghasilan semua pelindung muka itu disiapkan dalam tempoh tiga hari dengan bantuan 61 penuntutnya yang berada di kampus itu berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Keseluruhan kos dianggarkan lebih RM3,000 dan bagi kami, ia tidak seberapa jika dibanding dengan jasa petugas barisan hadapan terutama yang bertugas di hospital dalam usaha merawat mangsa Covid-19.

“Inisiatif ini juga dibuat sebagai sumbangan kecil kami untuk sama-sama terbabit secara tidak langsung dalam mengekang wabak ini dari terus menular,” katanya dalam satu kenyataan media.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 9:50 AM