GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


GARA-gara cuba mengelak ditahan pihak polis, seorang penganggur sanggup menyamar sebagai jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Sri Petaling.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an berkenaan ditahan ketika berkeliaran di sebuah pangsapuri di Balakong kira-kira jam 2 pagi pada 30 Mac lalu.

“Ketika rondaan dilakukan, lelaki berkenaan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana enggan pulang ke rumah selepas dinasihatkan anggota bertugas yang menyebabkan dia ditahan.

“Ketika dalam tahanan, suspek memaklumkan dia adalah seorang daripada jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Sri Petaling.

“Daripada maklumat itu, kami terus membuat pengasingan terhadap suspek dan memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum proses sanitasi dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang,” katanya ketika ditemui di hadapan Dewan Orang Ramai Sungai Lui, Hulu Langat, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan lanjut dilakukan terhadap ahli keluarga dan rakan suspek mendapati dia bukan jemaah tabligh.

“Malah, ahli keluarga dan rakannya juga menafikan dia menghadiri perhimpunan berkenaan.

“Hasil soal siasat dilakukan semula, suspek mengaku dia memberi keterangan palsu kepada pihak polis kerana tidak mahu ditahan,” katanya.

Katanya, suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 44 individu ditahan kerana melanggar arahan PKP di daerah Kajang sejak 18 Mac lalu hingga semalam.

“Sebanyak 22 kertas siasatan dibuka membabitkan 44 tangkapan berkenaan dengan dua kes sudah dituduh pada minggu lalu dan semalam.

“Sepanjang tempoh PKP ini, terdapat tujuh sekatan jalan raya dilakukan di daerah ini membabitkan laluan masuk dan keluar dari Kajang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 11:56 AM