MOHD Ajib menyusun telur masin yang disumbangkan untuk program Jawi Food Bank. FOTO ihsan JAWI
MOHD Ajib menyusun telur masin yang disumbangkan untuk program Jawi Food Bank. FOTO ihsan JAWI
Yusmizal Dolah Aling


BEBERAPA syarikat korporat tanpa mengira bangsa dan agama tampil menyumbang untuk program Jawi Food Bank bagi membantu petugas di barisan hadapan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Mohd Ajib Ismail berkata, sejak inisiatif yang diadakan susulan program Musaadah Covid-19 pada 19 Mac lalu, pelbagai pihak tampil menjayakan niat murni berkenaan.

Katanya, biarpun diedarkan menerusi kerjasama masjid, surau dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan, ada juga penyumbang bukan Islam tampil menghulurkan bantuan.

“Kita ada syarikat seperti KK Mart, Lai Hin Trading Sdn Bhd dan sebelum ini Lulu Hypermarket serta berbagai lagi. Jadi ini adalah satu usaha yang baik, bukan saja hal memberi sumbangan, tetapi hubungan sesama kita dalam suasana majmuk terutama di Wilayah Persekutuan.

“Setakat ini alhamdulillah, kita sudah sampaikan sumbangan kepada banyak tempat dan kita akan teruskan lagi terutamanya sepanjang PKP,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan 15,000 biji telur masin hari ini.

Sementara itu Pengarah Urusan Lai Hin Trading Sdn Bhd, Datuk Lau Hai Poo berkata biarpun berbeza agama, namun dia merasa terpanggil untuk membantu petugas barisan depan kerana wabak itu tidak mengira siapa.

Katanya, sebelum ini dia banyak menyumbang untuk program kemasyarakatan di daerah Bandar Baharu, Kedah, namun kali ini memilih untuk membantu lebih ramai penerima.

“Semoga dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban penerima. Kita doakan supaya pandemik ini segera berakhir, katanya.

Menurutnya, sebagai antara pengeluar telur masin terbesar di negara ini, menjadi tanggungjawab syarikatnya untuk bersama-sama kerajaan.

“Dalam tempoh PKP ini saya percaya orang ramai lebih suka dengan juadah yang mudah dihidang dan menyelerakan. Jadi telur masin juga sesuai kerana boleh dimasak dengan pelbagai jenis masakan.

“Saya akan mempertimbangkan kemungkinan untuk bekerjasama lagi pada masa depan, sekurang-kurangnya dapatlah berjasa pada negara,” katanya.

Kilang miliknya mempunyai pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), mampu menghasilkan 100,000 telur masin setiap hari dan turut mendapat permintaan dari luar negara termasuk Hong Kong serta Singapura.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 1:29 PM