Zuhainy Zulkiffli


PERTUBUHAN Usahawan Industri Desa Pulau Pinang mengambil pendekatan mendirikan Pusat Nyahkuman Bergerak di Pasar Awam Balik Pulau dekat Balik Pulau, sebagai usaha membasmi wabak Covid-19.

Pusat nyah kuman bergerak yang dipercayai pertama seumpamanya di Malaysia itu dilengkapi ciri pengimbas dan isian semula secara automatik.

Setiausaha Agungnya, John Ooh Sin Hwa berkata, pusat nyah kuman itu diilhamkan menerusi alatan yang sama digunakan rakyat Wuhan di China bagi membasmi wabak itu.

Katanya, bekalan kuasa akan dihidup dan dimatikan secara automatik bersama pengimbas, selain itu terdapat sukarelawan yang akan memeriksa pusat nyah kuman itu secara berkala.

“Ia berfungsi sepanjang masa, ia bukan sahaja boleh digunakan orang ramai di pasar tetapi pihak berkuasa yang bertugas serta pemandu dan penunggang motosikal e-hailing juga dialu-alukan bagi melakukan sendiri sanitasi menerusi pusat nyah kuman itu sebelum pulang ke rumah.

“Inisiatif ini juga bagi menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan badan bukan kerajaan (NGO) supaya bersama-sama membantu rakyat pada masa kritikal ini,” katanya yang ditemui ketika meninjau dan mendidik orang awam yang menggunakan pusat nyah kuman itu di pasar awam terbabit, hari ini.

ORANG ramai menggunakan Pusat Nyahkuman Bergerak (Mobile Disinfection Chamber) yang diusahakan oleh Pertubuhan Usahawan Industri Desa di pasar awam Balik Pulau disini, untuk kegunaan orang ramai bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Badan bukan kerajaan ini, memperuntukkan kos projek bernilai RM4000, sebagai usaha turut serta berganding bahu bersama kerajaan melawan wabak Covid-19. FOTO Danial Saad
ORANG ramai menggunakan Pusat Nyahkuman Bergerak (Mobile Disinfection Chamber) yang diusahakan oleh Pertubuhan Usahawan Industri Desa di pasar awam Balik Pulau disini, untuk kegunaan orang ramai bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Badan bukan kerajaan ini, memperuntukkan kos projek bernilai RM4000, sebagai usaha turut serta berganding bahu bersama kerajaan melawan wabak Covid-19. FOTO Danial Saad

Mengulas lanjut John berkata, mereka merancang membina lebih banyak pusat nyah kuman bergerak di kawasan awam termasuk hospital bagi kegunaan bersama.

Katanya, pembinaan pusat nyah kuman itu membabitkan kos sebanyak RM4, 000 seunit dan mereka mengalu-alukan sumbangan bagi membina lebih banyak pusat terbabit.

“Kosnya mungkin agak tinggi kerana kami menghadapi kesukaran mendapatkan beberapa barangan yang menjual peralatan berkaitan berikutan sudah ditutup pada tempoh PKP ini.

“Ia menggunakan tanda pagar #makcikkiahsumbangbalik sebagai simbolik kepada dana kerajaan yang digunakan bagi dimanfaatkan semula kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu penduduk Sungai Pinang, Alias Hussein, 62, berkata, ini pertama kali dia melihat pusat nyah kuman itu.

Katanya, idea berkenaan disambut baik kerana lebih mudah bagi golongan sepertinya melakukan sendiri sanitasi sebelum dan selepas berurusan di pasar.

“Diharap akan ada lebih banyak pusat nyah kuman bergerak seperti ini di tempat lain kerana kita tidak tahu sampai bila wabak ini akan berakhir,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 1:33 PM