KOTAK aerosol turut dibangunkan IIUM untuk tujuan disumbangkan kepada pihak KKM bagi kegunaan pengendalian kes Covid-19. FOTO ihsan IIUM
KOTAK aerosol turut dibangunkan IIUM untuk tujuan disumbangkan kepada pihak KKM bagi kegunaan pengendalian kes Covid-19. FOTO ihsan IIUM
Rosyahaida Abdullah


KEPERLUAN petugas barisan hadapan khususnya di hospital memakai peralatan perlindungan diri (PPE) bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 mendapat perhatian pelbagai pihak.

Tidak terkecuali, institusi pengajian tinggi (IPT) yang tampil menghulurkan sumbangan mengikut kemampuan dan kepakaran masing-masing.

Sekumpulan alumni, penuntut dan pensyarah Kulliyyah of Engineering Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) kini giat menyiapkan pelindung muka menggunakan cetakan 3D untuk diberikan secara percuma kepada klinik, hospital dan pusat kuarantin memerlukan.

Pensyarah Kulliyyah of Engineering IIUM Prof Madya Dr Yasir Mohd Mustafah berkata, inisiatif itu bermula selepas mengetahui masalah kekurangan PPE yang dihadapi petugas barisan hadapan negara

dan permintaan semakin tinggi selepas adanya zon merah Covid-19.

Beliau yang juga Pengarah [email protected], Center of Unmanned Technologies IIUM menjelaskan, dengan penggunaan empat mesin pencetak 3D dimiliki, pasukannya kini mampu mencetak sekitar 140 pelindung muka 3D sehari.

SEBAHAGIAN pelindung muka yang dihasilkan menggunakan mesin pencetak 3D oleh penuntut IIUM. FOTO ihsan IIUM
SEBAHAGIAN pelindung muka yang dihasilkan menggunakan mesin pencetak 3D oleh penuntut IIUM. FOTO ihsan IIUM

“Kita mula membangunkan dan mencari reka bentuk paling sesuai untuk pelindung muka ini sejak minggu lepas lagi sebelum memulakan proses pembuatan.

“Setiap mesin memakan masa antara 30 minit hingga satu jam juga untuk hasilkan satu unit pelindung muka jadi kita pastikan proses pembuatan berjalan 24 jam sehari untuk menampung permintaan yang terus meningkat.

“Ada beberapa penuntut khususnya dari Sabah dan Sarawak yang tidak pulang ke sana sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini secara sukarela mahu terbabit dalam projek ini jadi sejak tiga hari lalu, empat penuntut yang bergilir setiap enam jam sehari untuk terus hasilkan pelindung muka,” katanya kepada Harian Metro.

Dr Yasir berkata, setakat ini, sekitar 500 hingga 600 pelindung muka sudah berjaya dihasilkan dan diedar ke beberapa pusat termasuk Pusat Perubatan IIUM dan pusat kuarantin.

Beliau juga sedang mencari beberapa lagi mesin pencetak 3D bagi mempertingkatkan pengeluaran secepat mungkin.

“Kita juga perlukan transparents A4 dan pada masa sama kita sedang cipta kotak aerosol kerana itu yang lebih banyak diperlukan, beberapa hospital pun dah minta jadi kita akan sumbangkan.

“Dari segi kos, kita memang menerima sumbangan daripada orang ramai selain tajaan Kumpulan 3D IIUM sendiri, pihak IIUM dan pelbagai pihak lain,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya menerima apa saja idea yang bermanfaat untuk membantu petugas barisan hadapan dan tidak menolak sebarang kerjasama dengan pihak luar untuk hasil yang lebih baik.

“Jika ada idea misalnya mungkin ada keluarga yang boleh jahitkan baju untuk petugas kesihatan Covid-19, kami terima kerana ini adalah masa untuk kita bekerjasama, bukan hanya cakap-cakap tanpa apa-apa tindakan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 1:56 PM