TENGKU Adnan. FOTO Asyraf Hamzah
TENGKU Adnan. FOTO Asyraf Hamzah
BERNAMA

PROSIDING bela diri bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atas dakwaan menerima suapan RM2 juta, dijadual bersambung hari ini sehingga Jumaat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ditangguhkan.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan itu berkata mahkamah mengosongkan tarikh perbicaraan tersebut, berikutan lanjutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

“Pihak pendakwaan menerima e-mel daripada mahkamah semalam, memaklumkan perbicaraan yang dijadualkan bersambung hari ini (1 April) sehingga Jumaat, telah dikosongkan. Jadi mahkamah menetapkan 17 April bagi sebutan kes untuk menetapkan tarikh perbicaraan yang baharu,” katanya kepada Bernama melalui mesej WhatsApp hari ini.

Pihak pembelaan dijangka memanggil dua atau tiga lagi saksi untuk memberi keterangan apabila perbicaraan itu bersambung yang didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Tengku Adnan memilih memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi pada hari pertama prosiding bela diri pada 17 Januari lalu.

Beliau memberi keterangan terakhir pada 5 Mac.

Pada 14 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan, 69, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap kes tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan, 68, sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong, 60, melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 4:02 PM