LAPORAN berita palsu yang didedahkan di portal sebenarnya.my. FOTO Ihsan portal sebenarnya.my
LAPORAN berita palsu yang didedahkan di portal sebenarnya.my. FOTO Ihsan portal sebenarnya.my
Redzuan Muharam


MESKIPUN sudah diberi peringatan supaya tidak menyebarkan maklumat palsu berkaitan koronavirus baharu (Covid-19), masih ada individu tidak bertanggungjawab melakukannya.

Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam satu kenyataan menyenaraikan tiga berita palsu yang tular di laman sosial berserta dengan penafian pihak berkuasa agensi berkaitan.

Antara berita palsu yang tular melalui WhatsApp adalah mengenai hebahan yang meminta sesiapa yang sudah mengunjungi tujuh lokasi sekitar Marang dan Kuala Terengganu pada 26 hingga 29 Mac lalu untuk pergi ke hospital atau klinik berdekatan bagi menjalani ujian saringan Covid-19.

Perkara itu dinafikan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang memohon kepada semua lapisan masyarakat supaya berhati-hati dan tidak menularkan sebarang berita tidak benar dan sahih yang boleh menimbulkan kegusaran.

Seterusnya penafian oleh Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris mengenai dakwaan pasukan khasnya yang membantu mengiringi petugas Kementerian Kesihatan Malaysia menghantar pesakit Covid-19 pulang ke rumah.

Beliau turut menafikan larangan orang ramai ke pasar raya sekitar Marang kerana kononnya pesakit itu keluar mengunjunginya.

Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor menafikan dakwaan beberapa kawasan zon merah Covid-19 di Johor dan menjelaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan senarai maklumat (kawasan zon merah) wabak itu.

Berdasarkan semakan Harian Metro di portal sebenarnya.my, terdapat beberapa lagi berita palsu yang tular di laman sosial antaranya mengenai tawaran data Internet sebanyak 100GB secara percuma selama 30 atau 60 hari sepanjang tempoh kuarantin Covid-19.

Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dengan laman sesawang seperti itu kerana hasil semakan dan penelitian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati platform terbabit mungkin digunakan untuk mendapatkan maklumat peribadi pengguna.

Bukan setakat itu, terdapat juga laman sesawang menggunakan nama Kerajaan Malaysia meminta orang awam memuat turun aplikasi mudah alih yang menggunakan nama Perdana Menteri bagi mendapatkan pakej bantuan Covid-19.

Semakan dan penelitian SKMM mendapati aplikasi itu mungkin mengandungi perisian hasad yang seterusnya boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat peribadi pengguna.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 6:58 PM