HISHAMMUDDIN Hussein. FOTO Ihsan H2O
HISHAMMUDDIN Hussein. FOTO Ihsan H2O
BERNAMA

DAKWAAN kerajaan Malaysia mengusir rakyat Indonesia secara besar-besaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak benar dan tidak bertanggungjawab, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, dakwaan itu juga turut dinafikan oleh pihak berkepentingan Indonesia sendiri sebelum ini, termasuk kenyataan daripada Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi.

Katanya, hubungannya dengan Retno juga baik, malah Wisma Putra dan Kementerian Luar Indonesia juga sentiasa berhubung bagi membincangkan kepentingan rakyat negara masing-masing yang menetap di Malaysia dan Indonesia.

“Justeru, nasihat saya kepada pihak di luar sana, semak dahulu kesahihan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Jangan sewenang-wenangnya membuat dakwaan tidak bertanggungjawab yang boleh mengeruhkan hubungan serumpun Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hishammuddin mengulas kenyataan Migrant Care (Perhimpunan Indonesia Untuk Buruh Migran Berdaulat) baru-baru ini yang mendakwa kerajaan Malaysia mengusir rakyat Indonesia secara besar-besaran sepanjang tempoh PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 7:33 PM