NUR Nadziatul Syakilla (tengah) bersama rakan sedang menyiapkan tanda nama pelindung muka untuk barisan hadapan. FOTO Rosman Shamsudin.
NUR Nadziatul Syakilla (tengah) bersama rakan sedang menyiapkan tanda nama pelindung muka untuk barisan hadapan. FOTO Rosman Shamsudin.
Rosman Shamsudin


BAKAL guru dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim membuat keputusan tidak pulang ke kampung bagi membantu petugas barisan hadapan negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Pelajar semester lima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Reka Bentuk dan Teknologi, Nur Nadziatul Syakila Suyono, 23, berkata, dia menggunakan masa PKP bagi membantu Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) daerah Muallim untuk menghasilkan pelindung muka.

Nur Nadziatul Syakilla berkata, pelindung muka yang dihasilkan itu bakal digunakan kakitangan hospital dan klinik di daerah ini.

“Saya mengambil keputusan tidak pulang ke kampung di Johor kerana mematuhi perintah PKP, selain memberi sumbangan kecil bagi membantu barisan hadapan negara.

“Inilah sahaja yang mampu saya sumbangkan kepada mereka yang cekal dan gigih memerangi wabak Covid-19,” katanya ketika ditemui, dekat Pejabat BSMM, Slim River.

Nur Nadziatul Syakilla antara 40 penuntut dari Pusat Kokurikulum UPSI yang juga ahli BSMM UPSI bertungkus lumus sejak lapan hari yang lalu bagi menghasilkan pelindung muka.

Sebanyak 2,800 pelindung muka perlu disiapkan bagi kegunaan hospital dan klinik di daerah Batang Padang dan Muallim serta Hospital Teluk Intan.

Katanya, jika diikutkan hati memang ingin pulang ke kampung untuk bertemu ibu dan bapa tetapi dia membatalkan hasrat itu.

Bagaimana, katanya, mereka sering berhubung melalui telefon untuk mengenai perkembangan masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 7:45 PM