MOHD Amar ditemui selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
MOHD Amar ditemui selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


RAKYAT Kelantan yang majoritinya gemarkan beras Siam dicadangkan beralih kepada beras tempatan bagi menyesuaikan diri dengan situasi semasa.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata cadangan itu disuarakan apabila ramai penggemar beras Siam yang mengeluh bekalannya semakin tiada di pasaran.

Mohd Amar berkata berdasarkan mesyuarat jawatankuasa keselamatan yang diadakan, beliau dimaklumkan bekalan beras mencukupi untuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kalau nak makan beras Siam, itu di luar kemampuan kerajaanlah. Saya rasa elok kita sesuaikan diri dengan suasana (semasa)..kena belajar lah.

“Jika ada yang menjual beras Siam dengan harga mahal sekalipun, itu masalah penjual, bukan kerajaan,” katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat bersama barisan exco kerajaan negeri yang membincangkan isu semasa.

Mohd Amar berkata untuk menjaga bekalan beras suapaya mencukupi, pihaknya kini membuat peraturan iaitu tidak membenarkan pembelian secara pukal.

Katanya lagi pembelian perlu dibuat mengikut keperluan dan arahan itu turut dikeluarkan kepada peruncit supaya tidak menjual melebihi had yang sepatutnya kepada pembeli.

“Sekiranya orang ramai membeli pada kadar yang diperlukan, bekalan beras memang mencukupi.

“Jika ada individu atau badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membeli secara pukal untuk diagihkan kepada golongan sasar, mereka perlu berhubung dengan pembekal rasmi yang ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 8:25 PM