GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Noorazura Abdul Rahman


KERAJAAN negeri membatalkan operasi Bazar Ramadan dan Aidilfitri di Kedah bagi mengekang penularan Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat EXCO petang hari ini selepas mengambil kira keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Perkara ini penting bagi mengelak rakyat berhimpun di sesuatu tempat dan akan menyebabkan wabak ini tidak terkawal.

“Justeru semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah yang sudah mengambil deposit daripada pembida (pemilik gerai) perlu memulangkan kembali wang deposit,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Selain Kedah, Terengganu menjadi negeri pertama yang memutuskan untuk tidak membenarkan bazar Ramadan beroperasi di negeri itu.

Sementara itu Mukhriz berkata, kerajaan negeri turut menangguh pembayaran sewa beli Skim Rancangan Perumahan Awam (RPA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) milik kerajaan negeri selama enam bulan bermula 1 April sehingga 30 September ini.

Katanya, ia termasuk bayaran sewa skim PPR transit serta sewa premis PBT.

“Ia membabitkan implikasi kewangan untuk sewa rumah rakyat sebanyak RM2.76 juta dan sewa premis PBT sebanyak RM3.6 juta.

“Ia diharapkan dapat membantu meringankan beban rakyat dan peniaga yang terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Mukriz turut mengumumkan program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) turut diteruskan mulai Jun hingga Disember ini bagi membantu meringankan beban penerima yang terjejas akibat Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 8:27 PM