ANGGOTA polis dan ATM memperketatkan sekatan Jalan raya di Jalan utama Lebuhraya Cheras Kajang menuju ke Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
ANGGOTA polis dan ATM memperketatkan sekatan Jalan raya di Jalan utama Lebuhraya Cheras Kajang menuju ke Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS Kuala Lumpur menahan 194 orang sehingga semalam sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jumlah tangkapan itu membabitkan 127 warga tempatan dan 67 warga asing berusia 16 hingga 86 tahun.

Menurutnya, polis sudah membuka 105 kertas siasatan dengan 64 orang sudah dituduh di mahkamah.

“Tangkapan terhadap individu ini dilakukan kerana didapati mengingkari PKP iaitu tidak mengendahkan amaran dan nasihat yang diberikan polis.

“Tidak memberikan kerjasama dan tidak mematuhi arahan pihak polis serta memberikan alasan yang tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Mazlan berkata, kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 22(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988, Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Bagi pelaksanaan PKP fasa kedua, Polis Kuala Lumpur akan bertindak lebih tegas dan memastikan pelaksanaan PKP dipatuhi sepenuhnya oleh orang ramai dengan mengadakan sebanyak 56 sekatan jalan raya.

“Ia membabitkan seramai 4,470 orang petugas yang terdiri daripada 554 orang pegawai kanan polis, 3016 orang pegawai rendah polis, 664 petugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 36 orang petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.

Beliau berkata, seramai 98 petugas Angkatan Pertahanan Awam (APM), 28 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 28 petugas Radicare, 11 orang petugas Institut Sosial Malaysia (ISM) dan orang petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut bertugas.

“Justeru, Polis Kuala Lumpur meminta kerjasama daripada orang ramai untuk ‘duduk di rumah’ agar dapat memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 9:39 PM