GERAKAN mencari dan menyelamat diaktifkan bagi mengesan seorang remaja lelaki yang hilang di hutan berdekatan Kampung Berawan, Limbang sejak semalam. FOTO IHSAN BOMBA
GERAKAN mencari dan menyelamat diaktifkan bagi mengesan seorang remaja lelaki yang hilang di hutan berdekatan Kampung Berawan, Limbang sejak semalam. FOTO IHSAN BOMBA
Erika George

SEORANG remaja yang bosan duduk di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikhuatiri hilang di hutan Kampung Berawan di sini, sejak petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, Mohd Alizam Ali Safari, 14, sempat memberitahu ibunya yang dia hendak pergi memburu di hutan belakang rumah kerana bosan tinggal di rumah pagi semalam.

“Sebelum keluar berburu, ibunya melihat mangsa membawa sebilah parang memasuki hutan itu bersama seekor anjing,” katanya.

Bagaimanapun, ibunya menyedari sesuatu yang tidak kena selepas melihat hanya anjing itu sahaja yang pulang ke rumah, petang semalam.

Bimbang dengan keselamatan anaknya, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Limbang.

“Dalam usaha pencarian yang masuk hari kedua hari ini, pasukan mencari dan menyelamat dibahagikan kepada empat kumpulan yang memfokuskan pencarian di kawasan hutan serta bukit berhampiran.

“Operasi turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung,” katanya sambil memaklumkan tiada sebarang petunjuk ditemui hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 9:40 PM