ANGGOTA bomba memadam kebakaran enam rumah kongsi di projek pembinaan Hospital Dungun di Jalan Pak Sabah, Dungun, hari ini. FOTO ROSLI ILHAM
ANGGOTA bomba memadam kebakaran enam rumah kongsi di projek pembinaan Hospital Dungun di Jalan Pak Sabah, Dungun, hari ini. FOTO ROSLI ILHAM


SEDERET enam rumah kongsi di tapak projek pembinaan Hospital Dungun di Jalan Pak Sabah, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Bagaimanapun, 30 pekerja warga asing terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar yang mendiami rumah kongsi terbabit berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Dungun, Penolong Penguasa Bomba Mohd Aidil Khairim Abdul Wahab berkata, kebakaran itu dipercayai berlaku pada 5 petang sebelum dimaklumkan kepada pihak bomba tujuh minit kemudian.

Menurutnya, seramai 16 anggota dengan dua jentera bergegas ke lokasi kejadian sebelum melancarkan operasi pemadaman.

“Kebakaran itu dipercayai bermula daripada rumah di bahagian tengah sebelum merebak dan membakar keseluruhan rumah terbabit.

“Ketika kebakaran, semua pekerja terbabit sedang berehat dan tidur sebelum disedari seorang pekerja yang meminta rakan mereka segera menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Aidil berkata, keadaan angin kuat menjadi faktor api merebak dengan cepat sehingga membakar semua rumah terbabit.

“Kami bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada 7.15 malam.

“Kesemua mangsa gagal menyelamatkan sebarang harta benda dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 10:01 PM