Mazlan. FOTO Arkib NSTP
Mazlan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


STATISTIK indeks jenayah di Kuala Lumpur bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam menunjukkan penurunan 14.2 peratus.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kadar jenayah indeks di kontinjen Kuala Lumpur sebanyak 2,409 adalah kurang dari nilai ambang yang ditetapkan iaitu 2,808 atau menurun sebanyak 14.2 peratus.

Menurutnya, manakala, jenayah kekerasan mencatatkan penurunan sebanyak 18.1 peratus dan jenayah harta benda menunjukkan penurunan sebanyak 12.8 peratus.

“Sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama pada 18 hingga semalam, statistik jenayah indeks menunjukkan kadar jenayah indeks di kontinjen Kuala Lumpur sebanyak 184 adalah kurang dari nilai ambang yang ditetapkan iaitu 432 atau menurun sebanyak 57.4 peratus.

“Jenayah kekerasan mencatatkan penurunan sebanyak 62.8 peratus dan jenayah harta benda pula menunjukkan penurunan sebanyak 55.5 peratus,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mazlan berkata, penurunan kadar jenayah ini adalah disebabkan pihak polis meningkatkan jumlah sekatan jalan raya, rondaan unit peronda kereta (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB).

“Selain itu, elemen-elemen balai polis dan mewujudkan team pemantau yang berperanan untuk menguatkuasakan perlaksanaan PKP sekali gus mencegah jenayah daripada berlaku.

“Pada masa yang sama, Polis Kuala Lumpur juga berusaha keras dalam memastikan penguatkuasaan PKP bagi membendung penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, sekatan jalan raya dan pemeriksaan dijalankan dan dipergiatkan lagi oleh pihak polis bagi memastikan orang ramai mematuhi PKP.

“Polis akan terus komited membanteras jenayah bagi memastikan tahap keselamatan di bandaraya Kuala Lumpur adalah terjamin.

“Selain itu, kita juga menasihatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan sebarang maklumat di media sosial dan tidak menularkan perkara-perkara tidak sahih dan tidak benar yang boleh menimbulkan ketakutan mahu pun kegusaran orang ramai,” katanya.

Katanya, tindakan yang lebih tegas akan diambil terhadap individu yang melakukan perkara sebegini mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 11:53 PM