X
Penghantaran bekalan makanan kepada penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Igan di Sibu dibuat menggunakan tongkang. FOTO Ihsan pembaca
Penghantaran bekalan makanan kepada penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Igan di Sibu dibuat menggunakan tongkang. FOTO Ihsan pembaca
Mohd Roji Kawi


BANTUAN keperluan makanan daripada kerajaan negeri Sarawak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disalurkan kepada penduduk mulai semalam.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, semua Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diminta untuk membuat tempahan makanan dengan segera.

“Semalam sebanyak 44 Pusat Khidmat sudah membuat tempahan bekalan makanan manakala 38 lagi masih dalam proses,” katanya.

Fatimah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan berkata, ketika ini semua Jawatankuasa Bencana Bahagian atau Daerah sudah mengenal pasti golongan sasar, pusat pengagihan, dan modus operandi penghantaran ke setiap rumah dan mengambil kira pematuhan kepada PKP.

Isnin lalu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan mengumumkan peruntukan RM16.4 juta daripada kerajaan Sarawak untuk membekalkan makanan asas kepada golongan sasaran di seluruh negeri ini.

Menurut Fatimah lagi, jadual penghantaran serta lokasi pemunggahan bekalan makanan asas sudah diuruskan dan pengagihan dijangka bermula esok atau lusa.

“Bagi kawasan pedalaman yang tidak boleh atau sukar dihubungi melalui jalan darat, seperti Bario, Telang Usan, Baram, Lawas, Sri Aman dan Kapit, pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersetuju untuk membantu penghantaran makanan menggunakan helikopter,” katanya.

Katanya lagi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, juga diminta untuk memastikan bekalan makanan mencukupi di setiap 800 buah Pusat Jualan atau Kedai Runcit di seluruh Sarawak.

Sementara itu, penghantaran bekalan makanan kepada penduduk sudah dilaksanakan di beberapa kawasan mulai semalam.

Ia termasuk penghantaran menggunakan tongkang di penempatan penduduk di sepanjang Sungai Igan, di Sibu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 11:10 AM