X
NICOLE Tan mempegerusikan mesyuarat mengenai gelandangan. FOTO Mohd Amin Jalil
NICOLE Tan mempegerusikan mesyuarat mengenai gelandangan. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


KERAJAAN Negeri Sembilan mengambil inisiatif mewujudkan pusat perlindungan sementara kepada gelandangan di Seremban dalam usaha memastikan kepentingan mereka terjaga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, bangunan Dapur Kausar di Jalan Kapitan Tam Yeong dijadikan sebagai tempat perlindungan sementara untuk gelandangan.

Katanya, pusat itu mula beroperasi hari ini sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 14 April ini.

“Terdapat kebimbangan terhadap golongan gelandangan akan menjadi mangsa atau ejen penularan wabak Covid-19 kerana mereka sentiasa berada di luar rumah atau tiada tempat tinggal.

“Justeru, kerajaan negeri mengambil inisiatif bagi mewujudkan pusat khas sebagai tempat perlindungan sementara kepada gelandangan di bandar Seremban, supaya kepentingan golongan ini terpelihara.

“Kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu menyediakan makan minum kepada mereka,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai gelandangan hari ini.

Nicole berkata, usaha itu turut mendapat kerjasama pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri selain agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita berharap melalui pengwujudan pusat itu, urusan membabitkan golongan gelandangan dapat diuruskan dengan baik dan keselamatan mereka terjamin,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 12:17 PM