TERTUDUH melanggar PKP kerana berkonvoi dijatuhi hukuman denda RM1,000 dan penjara tujuh hari dari tarikh tangkapan oleh Mahkamah Majistret Jelebu hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
TERTUDUH melanggar PKP kerana berkonvoi dijatuhi hukuman denda RM1,000 dan penjara tujuh hari dari tarikh tangkapan oleh Mahkamah Majistret Jelebu hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


EMPAT penunggang motosikal yang berkonvoi dari Cheras, Kuala Lumpur ke Jelebu, Negeri Sembilan ketika larangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijatuhi hukuman denda RM1,000 dan tujuh hari penjara oleh Mahkamah Majistret Jelebu hari ini.

Majistret Rahimah Rahim menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas Ng Kim Seang, 34; Woo Soon You, 30; Low Yen Lai, 26 dan Teoh Chun Ann, 31, selepas kesemuanya mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama pada 29 Mac jam 9.30 bertempat di Jalan Besar Titi didapati bergerak dari satu tempat lain iaitu dari Cheras, Kuala Lumpur ke Titi, Jelebu ketika perintah PKP dilaksanakan.

Oleh yang demikian, semua tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 (PPPB) yang boleh dihukum mengikut Peraturan 7 PPPB dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Rahimah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda manakala hukuman penjara dijalankan dari tarikh tertuduh ditangkap.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan empat penunggang motosikal ditangkap polis selepas berkonvoi dari Cheras ke Jelebu biarpun mengetahui PKP sedang dilaksanakan di seluruh negara sejak 18 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 12:29 PM