WANG Tunai dan rokok seludup dirampas polis. FOTO Ihsan PDRM
WANG Tunai dan rokok seludup dirampas polis. FOTO Ihsan PDRM
Hazsyah Abdul Rahman


DUA beranak bukan sahaja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah turut menjual rokok seludup di belakang Pasar Lahad Datu di Lahad Datu, semalam.

Lelaki pemegang kad pengenalan sementara berusia 34, dan anak lelakinya, 15 itu ditahan bersama 41 pek pelbagai jenis rokok dan wang tunai dipercayai hasil jualan rokok seludup.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, anggota polis yang menjalankan pemantauan PKP terserempak dua beranak berkenaan merayau di situ kira-kira jam 10 pagi.

Menurutnya, anggota bertugas kemudiannya menahan dan memeriksa dua beranak terbabit sebelum menemukan 41 pek pelbagai jenis rokok seludup dan wang tunai RM1,179.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut, suspek mengakui menjual rokok seludup sejak tiga hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasri berkata, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 12:37 PM