Raja Noraina Raja Rahim


KERTAS siasatan berhubung kes wanita menjerit dan memaki anggota polis yang melakukan sekatan jalan raya di Persiaran Surian, Petaling Jaya, akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi proses pendakwaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis sudah mengambil keterangan wanita 30-an itu untuk melengkapkan siasatan.

“Hari ini kita akan bawa kertas siasatan wanita terbabit kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan tuduh.

“Sekiranya dapat arahan, esok pagi akan dituduh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, wanita itu direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Harian Metro kelmarin melaporkan tindakan wanita menjerit dan memaki anggota polis yang melakukan sekatan jalan raya di Persiaran Surian, Petaling Jaya, mengundang padah apabila dia ditahan.

Wanita berkenaan dikatakan bertindak sedemikian kerana bengang selepas terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas berikutan pemeriksaan dilakukan polis dan tentera di lokasi itu.

Malah, wanita berkenaan yang memandu kenderaan utiliti sukan turut membunyikan hon hampir 30 minit ketika cuba mencari jalan keluar daripada kesesakan ke rumahnya yang terletak berhampiran.

Berita berkaitan:

  • Wanita maki polis direman sehari
  • Cari pasal maki polis
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 12:37 PM