GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


INDIVIDU yang melakukan pembakaran terbuka bukan hanya boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling tetapi ditangkap kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, hasil pemantauan pihaknya mendapati ada segelintir individu di daerah ini melakukan pembakaran terbuka sehingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Kita melakukan rondaan 24 jam bagi memastikan penduduk di daerah ini mematuhi PKP tetapi dalam pemantauan itu, ada individu dikesan melakukan pembakaran terbuka.

“Jika kita nampak ada individu melakukan pembakaran terbuka sama ada di hadapan rumah atau kebun, kita akan tahan sebab ingkar PKP,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini. Mohd Zain berkata, sepanjang tempoh PKP Fasa Satu bermula 18 Mac hingga 31 Mac lalu, pihaknya menerima empat laporan pembakaran terbuka dengan dua daripadanya berlaku di tepi jalan.

“Kita pandang serius isu ini dan menasihatkan penduduk tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka kerana dibimbangi merebak ke kediaman berhampiran memandangkan keadaan cuaca yang panas ketika ini.

“Mana-mana individu yang ditahan boleh didakwa mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 kerana ingkar arahan PKP dan peruntukan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 4:56 PM