KESESAKAN di Jalan Ipoh susulan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Dua. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
KESESAKAN di Jalan Ipoh susulan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Dua. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Raja Noraina Raja Rahim


MESKIPUN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang lebih ketat sudah bermula semalam, masih ramai tidak mematuhi perintah dengan keluar rumah sehingga berlaku kesesakan.

Tinjauan Harian Metro mendapati banyak kenderaan melalui Jalan Sungai Buloh-Kepong dan Jalan Ipoh menuju ke pusat bandar.

Berdasarkan perkongsian anggota keselamatan, kebanyakan pengguna jalan raya memberi alasan mahu ke tempat kerja selain membeli makanan dan menghantar barangan.

Orang ramai dipercayai menggunakan masa singkat ditetapkan antara jam 6 pagi sehingga 10 malam bagi PKP fasa kedua untuk keluar rumah.

Malah, kesesakan turut dilaporkan berlaku di beberapa lokasi sekatan jalan raya di jalan utama dan lebuh raya di sekitar Lembah Klang.

Antara lokasi yang turut berlaku kesesakan teruk ialah Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Sungai Besi, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dekat Plaza Tol Sunway, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dan Jalan Loke Yew.

Kesesakan dianggarkan berlaku antara 100 meter sehingga 300 meter.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi berkata, tindakan tegas termasuk tangkapan akan terus dilakukan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Tindakan tangkapan berjaya mengajar orang ramai mematuhi PKP. Tindakan keras ini akan terus diambil bagi mencapai objektif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengkehendaki orang ramai duduk di rumah,” katanya.

Pelaksanaan PKP fasa kedua yang bermula semalam hingga 14 April ini akan dilaksanakan lebih ketat dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) baharu diperkenalkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 5:14 PM