Foto hiasan
Foto hiasan
Balqis Jazimah

PENETAPAN waktu operasi bagi semua premis perniagaan dan perkhidmatan di Perak diselaraskan bermula dari 8 pagi hingga 8 malam susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa kedua bermula semalam.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ketetapan itu akan berkuatkuasa esok sehingga 14 April atau sehingga PKP ditarik balik.

“Premis perniagaan dan perkhidmatan yang terbabit adalah semua premis perniagaan yang menjual keperluan harian termasuk pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam, kedai makan dan rangkaian restoran makanan segera termasuk khidmat pandu lalu, stesen minyak dan perkhidmatan penghantaran makanan.

“Bagaimanapun, hospital swasta, klinik swasta dan farmasi dikecualikan daripada arahan waktu operasi ini,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, selain itu peniaga dan pengendali pengangkutan awam serta rakyat juga diminta mematuhi beberapa ketetapan.

“Waktu operasi bagi pasar awam (6 pagi hingga 12 tengah hari), pasar borong (4 pagi hingga 10 pagi), bengkel kenderaan dan kedai alat ganti (8 pagi hingga 4 petang), pengangkutan awam (6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam) dan mesin ATM di cawangan perbankan (8 pagi hingga 8 malam).

“Kenderaan persendirian hanya dibenarkan berada atas jalan antara 6 pagi sehingga 10 malam termasuk perkhidmatan e-hailing dan teksi.

“Semua kenderaan persendirian hanya dibenarkan seorang sahaja iaitu pemandu kecuali pada waktu kecemasan, manakala pengangkutan komersial membabitkan barangan keperluan seperti makanan dan perubatan digalakkan beroperasi dari 7 malam sehingga 7 pagi,” katanya.

Menurutnya, aktiviti riadah dan sosial pula tidak dibenarkan di kawasan awam dan persendirian namun kelonggaran diberi kepada golongan autism dan orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan terapi seperti dinasihatkan pakar tetapi tidak dibenarkan secara berkumpulan.

Katanya, kerajaan negeri menggalakkan orang ramai supaya membuat pembelian secara atas talian.

Ahmad Faizal berkata, had tempoh operasi dua kali dalam seminggu ditetapkan bagi perniagaan penjualan kedai input pertanian, kedai perkakasan, penjualan makanan haiwan, ubatan dan keperluan berkaitan serta kedai menjual alat tukar ganti jentera pertanian atau industri.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 6:38 PM