Nurul Hidayah Bahaudin


MAHU membeli makanan, minuman dan rokok. Itu antara alasan diberikan 12 individu yang ditahan dalam Operasi Covid-19 di beberapa lokasi di daerah Petaling Jaya, semalam.

Dalam operasi bermula kira-kira 9 malam itu, polis menahan 12 lelaki berusia 20 hingga 52 tahun termasuk seorang lelaki, 52, mempunyai rekod jenayah membabitkan kes samun di Endau pada 2007 dan seorang lelaki berusia 20-an yang ditahan bersama sebotol air ketum.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya akan terus meningkatkan kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kepada 100 peratus.

“Alasan diberikan segelintir individu kononnya tidak tahu mengenai arahan PKP tidak boleh diterima kerana pelaksanaannya sudah masuk hari ke-15.

“Contohnya, alasan keluar rumah untuk membeli roti, air dan rokok 11 malam adalah tidak rasional kerana orang ramai sudah dimaklumkan bahawa semua kedai ditutup pada 8 malam dan tidak dibenarkan keluar rumah selepas 10 malam,” katanya ketika ditemui di Plaza Tol PJS2, hari ini.

Katanya, orang ramai perlu peka dan mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa bagi membendung penularan wabak berkenaan.

“Ketika ini, kita sedang melawan sesuatu yang tidak nampak. Jika kita leka, maka ia akan mengagalkan misi untuk memastikan kadar kes direkodkan kepada sifar.

“Justeru, kami mahu benar-benar melaksanakan (arahan penguatkuasaan) perintah ini supaya ia dapat membendung penularan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya sudah mengkaji beberapa lokasi di daerah berkenaan yang dikenal pasti sebagai lokasi ‘meriah’ apabila masih ramai lagi individu ingkar dengan arahan PKP di kawasan berkenaan.

ANGGATA Polis menyoal penunggang motosikal ketika Operasi Engkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa kedua di Petaling Jaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANGGATA Polis menyoal penunggang motosikal ketika Operasi Engkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa kedua di Petaling Jaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

“Berdasarkan pemerhatian dilakukan sejak minggu lalu di lokasi yang dikenal pasti itu, kami mendapati masih ramai individu keluar rumah tanpa alasan munasabah terutama di Taman Medan, Taman Dato Harun, Ara Damansara dan Damansara Damai.

“Disebabkan itu, kami melancarkan operasi dengan kekuatan 13 kereta peronda polis (MPV), 15 Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan tiga pasukan Op Cantas membabitkan 52 anggota melakukan pemantauan di lokasi berkenaan.

“Kami akan memberikan nasihat dan amaran terlebih dahulu kepada orang ramai supaya tidak keluar rumah sebelum 10 malam. Jika masih ada individu yang ingkar arahan itu (selepas 10 malam), kami akan terus membuat tangkapan,” katanya yang mengetuai operasi berkenaan.

Nik Ezanee berkata, hasil pemantauan dilakukan dalam operasi itu mendapati terdapat peningkatan kadar pematuhan arahan PKP di kawasan berkenaan berbanding perlaksanaannya pada minggu lalu.

“Pada fasa pertama PKP bermula 18 Mac lalu hingga semalam, kami mendapati kadar pematuhan di lokasi ‘meriah’ ini agak rendah iaitu sekitar 50 peratus.

“Bagaimanapun, kadar pematuhan itu jelas dilihat meningkat kepada 90 peratus pada malam ini apabila keadaan jalan lengang dan sunyi dengan hanya beberapa kenderaan dilihat berada di atas jalan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 6:49 PM