BILIK Gerakan Covid-19 UPM. FOTO Ihsan UPM
BILIK Gerakan Covid-19 UPM. FOTO Ihsan UPM
Yusmizal Dolah Aling


UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) menubuhkan pasukan Pasukan Tindakan Kecemasan UPM (ERT-UPM Covid-19) bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan kesediaan universiti itu dalam menangani isu berkaitan secara berkesan.

Beroperasi di sebuah bilik gerakan, semua penyelarasan maklumat, isu, dan masalah yang timbul dari semua entiti UPM di laksanakan termasuk mengemaskini aktiviti utama bagi membendung penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasinya Prof

Dr Azmawani Abd Rahman berkata, setiap hari maklumat berkaitan tahap risiko warga UPM akan dianalisa dan mereka yang didapati berisiko tinggi termasuk di Kampus Bintulu akan terus dihubungi segera bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut.

“Pelan tindakan kawalan juga sudah dibangunkan bagi memastikan arahan yang dikeluarkan kepada semua warga kampus adalah jelas dan berinformatif.

“Selain itu, data berkaitan bilangan pelajar dalam kolej penginapan, bilangan pergerakan keluar dan masuk ke dalam kawasan kampus, bilangan staf dan pelajar yang berkaitan dengan kes Covid-19, jadual agihan makanan secara percuma kepada pelajar, senarai agihan penyumbang turut dikemaskini serta dipantau,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Tindakan Kecemasan yang dipengerusikan Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Aini Ideris diadakan diadakan setiap hari secara sidang video di bilik gerakan berkenaan.

Katanya, bilik gerakan berkenaan juga bertindak memastikan tahap keselamatan dan kebersihan makanan di setiap kolej yang diwartakan sentiasa di tahap terbaik.

“Pembekal yang dilantik untuk pengedaran makanan kepada semua pelajar termasuk pelajar antarabangsa diberikan taklimat kesihatan dan kesihatan oleh petugas.

“Petugas juga menyelaras aktiviti disinfeksi di tempat atau lokasi yang dikenalpasti tercemar dengan jangkitan, dan bilik gerakan ini juga menjadi penghubung dalam menjalinkan kerjasama dengan agensi dan juga entiti yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerja.

“Baru-baru ini kami juga dikunjungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang mahu melihat bagaimana ia beroperasi dan memberi manfaat kepada semua,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 11:52 PM