Muhamaad Razis Ismail

COWAY Malaysia menyumbangkan 300 penapis udara kepada 38 hospital awam di seluruh negara dalam usaha untuk membantu pesakit dijangkiti Covid-19.

Pada masa sama, syarikat turut memberi sumbangan wang tunai berjumlah RM300,000 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Urusan Coway Malaysia, Kyle Choi Ki Ryong berkata, inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini diambil selaras dengan komitmen syarikat untuk mempromosikan kepentingan menjaga kebersihan udara dan membantu pesakit yang dijangkiti pandemik ini serta petugas barisan hadapan kesihatan.

Katanya, pihaknya menyedari kebimbangan yang semakin meningkat dalam masyarakat negera ini dengan peningkatan jumlah kes Covid-19 sejak kebelakangan ini .


“Sebagai sebuah syarikat berkaitan kebersihan udara yang cukup disegani, kami menyedari keperluan mengambil tindakan segera dalam membantu negara yang berdepan saat kritikal. Oleh itu, kami tampil membantu menyumbang penapis udara ini kepada hospital.

“Coway mahu menjadi sebuah syarikat korporat yang mampu memainkan peranan dalam memberi sokongan terhadap usaha kerajaan dan yakin, ini dapat membantu menjadikan keadaan menjadi lebih baik.

“Terima kasih juga kepada CJ Logistics yang membantu membuat penghantaran penapis udara ini ke hospital awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan,” katanya.


Antara hospital terbabit adalah Hospital Sungai Buloh, Institut Perubatan Respiratori Kuala Lumpur, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Hospital Tengku Ampuan Afzan( Kuantan), Hospital Raja Permaisuri Bainun (Ipoh), Hospital Melaka, Hospital Tuanku Ja'afar, (Seremban), Hospital Queen Elizabeth (Kota Kinabalu) dan Hospital Umum Sarawak (Kuching).

Beliau berharap kemudahan ini dapat membantu KKM memastikan udara sentiasa dalam keadaan bersih di semua hospital yang merawat pesakit Covid-19.

“Sebagai peneraju global dalam industri perkakasan rumah, Coway sentiasa menyokong kepentingan menjaga kebersihan udara kerana menyedari kepentingannya untuk membantu pesakit yang berdepan masalah pernafasan seperti asma dan warga emas menjadi lebih baik,” katanya.


Sementara itu, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata, pihaknya berterima kasih dengan inisiatif Coway sebagai sebuah syarikat korporat dalam membantu kerajaan menangani Covid-19.

“Kami menghargai usaha yang diambil Coway yang turut turun padang bersama-sama membantu memerangi wabak yang merebak ke seluruh dunia.

“KKM akan pastikan semua penapis udara ini digunakan sebaik mungkin untuk kemudahan pesakit di hospital,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Coway sila lawati www.coway.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 10:30 AM