MAQIS Johor menggagalkan cubaan bawa masuk 72 produk babi dalam tin di BSI. FOTO IHSAN Maqis Johor
MAQIS Johor menggagalkan cubaan bawa masuk 72 produk babi dalam tin di BSI. FOTO IHSAN Maqis Johor


CUBAAN seorang lelaki warganegara Malaysia untuk membawa masuk produk babi dalam tin bernilai RM630 dari Singapura ditumpaskan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Johor.

Pengarahnya, Nur Afifah A Rahman berkata, lelaki itu ditahan di laluan masuk kargo di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, 8.30 malam kelmarin.

Katanya, pemeriksaan pada konsainan dibawa lelaki itu menemui 72 produk babi dalam tin yang diletak di bahagian penyimpanan barang belakang lori dipandunya.

“Kami dapati konsainan itu tidak memiliki permit import yang sah yang dikeluarkan oleh MAQIS serta sijil kesihatan dari negara asal.

“Dagangan itu dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan sendiri,” katanya pada kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“MAQIS komited dalam menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan bagi menghalang risiko kemasukan wabak ‘African Swine Fever’ (ASF) ke negara ini kerana ia mampu merosakkan industri penternakan tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 2:33 PM