SEBAHAGIAN 13 warga Myanmar dan Bangladesh yang leka bermain sepak takraw dan kriket ditahan polis ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Dusun, Langkawi. FOTO Ihsan PDRM
SEBAHAGIAN 13 warga Myanmar dan Bangladesh yang leka bermain sepak takraw dan kriket ditahan polis ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Dusun, Langkawi. FOTO Ihsan PDRM
Hamzah Osman


LEKA bermain sepak takraw dan kriket ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa padah kepada 13 warga asing apabila ditahan polis di Kampung Dusun, Langkawi, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, seramai 11 lelaki warga Myanmar dan dua warga Bangladesh itu ditahan di kawasan tapak pembinaan pada 6.30 petang.

“Terdahulu, polis menerima aduan awam mengatakan sekumpulan lelaki warga asing sedang bermain sepak takraw dan kriket di tapak pembinaan, sekali gus melanggar PKP.

“Anggota polis membuat pemantauan selama 10 minit sebelum melakukan tangkapan ke atas semua lelaki berrusia antara 21 hingga 36 tahun itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, ketika ditahan mereka memberi alasan mahu melakukan aktiviti mengeluarkan peluh dan bosan berada dalam rumah pada hari ke-16 PKP, semalam.

“Semua lelaki terbabit direman empat hari sehingga Isnin ini dan disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Malah, mereka turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 270 KK kerana berkumpul menyebabkan merebaknya penyakit berjangkit,” katanya.

Katanya, selain itu siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 2:43 PM