GAMBAR hiasan. FOTO Aizuddin Saad
GAMBAR hiasan. FOTO Aizuddin Saad
Mahaizura Abd Malik


SERAMAI 160 rakyat Malaysia yang berada di Indonesia selamat dibawa pulang ke Kuala Lumpur hari ini.

Wisma Putra dalam hantaran di Facebook memaklumkan, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan dengan kerjasama Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) berjaya membawa pulang semua rakyat Malaysia itu termasuk 144 penuntut yang berada di Medan, Aceh dan Sumatera.

“Terima kasih dan syabas kepada semua yang menjayakan misi ini,” kata kenyataan itu.

Pada perkembangan sama, Wisma Putra turut berkongsi perkembangan terbaharu rakyat Malaysia di Melbourne, Australia.

Katanya, Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne yang diketuai Marzita Marzuki membantu memudah cara urusan rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Tullamarine untuk pulang ke tanah air menggunakan pesawat Malaysia Airlines hari ini.

Menurut perkongsian itu, bagi pelajar yang masih berada di Melbourne, mereka ditempatkan di Malaysian Hall buat sementara waktu.

“Terima kasih Malawakil Melbourne dalam usaha membantu rakyat Malaysia di sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 2:53 PM