PELANGGAN duduk dalam jarak satu meter ketika menunggu giliran membeli barang keperluan di perkarangan pejabat Fama. FOTO Asrol Awang
PELANGGAN duduk dalam jarak satu meter ketika menunggu giliran membeli barang keperluan di perkarangan pejabat Fama. FOTO Asrol Awang


PROGRAM Jualan Barangan Segar Terkawal anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang di perkarangan pejabatnya di Batu Lima Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan mendapat reaksi positif orang ramai.

Ini kerana orang ramai berpuas hati dengan kaedah pembelian terutama harga yang berpatutan dan jauh lebih murah berbanding di pasar raya dan kedai runcit.

Bagi Hanapi Mat Ripin, 46, harga yang lebih murah mendorongnya untuk mendapatkan barang keperluan di situ.

“Sebagai contoh, harga satu kilogram (kg) tembikai dijual pada harga 90 sen berbanding di tempat lain antara RM1.20 hingga RM1.40.

“Begitu juga bekalan sayuran, kobis, tomato, bawang besar, lobak merah, labu manis, halia dan kelapa dijual antara potongan harga antara lima hingga 20 peratus.

“Daging lembu, ayam dan ikan turut dijual di sini yang memudahkan pengguna untuk mendapatkan barang keperluan di satu tempat saja,” katanya.

Kamaluddin Mohamad Shahbudin, 51, pula berkata, program yang dianjurkan Fama dilihat bertepatan dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, kaedah jualan itu membantu pengguna mendapatkan harga yang lebih murah ketika rakyat berdepan dengan sumber pendapatan yang terjejas.

“Saya difahamkan Fama juga membantu petani dengan membeli hasil pertanian mereka disebabkan tidak dapat memasarkan disebabkan tiada permintaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Fama Pahang, Noh Nik Wan berkata, sejak dimulakan pada 18 Mac lalu sambutan diterima amat menggalakkan iaitu antara 200 hingga 300 pengguna hadir setiap hari bagi mendapatkan barangan keperluan segar terus dari ladang.

Katanya, ini juga dipantau beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan ia mematuhi langkah keselamatan ditetapkan.

“Pelbagai produk sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan ikan, serta barangan kawalan di kedai Agro Bazaar Kedai Rakyat dan Agro Bazaar Rakyat dijual di program itu.

“Selain mendapat produk segar terus dari ladang, pengguna juga menikmati tawaran harga lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding yang dijual di premis serta pasar besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 3:19 PM