ZULKIFLI. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ZULKIFLI. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Muhaamad Hafis Nawawi


DAKWAAN hadis menyebut meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali sebagai golongan munafik perlu difahami secara menyeluruh supaya ia tidak disalah fahami.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, hari ini, masuk kali ketiga umat Islam di negara ini tidak dapat menunaikan solat Jumaat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, pihaknya bimbang apabila diberitahu oleh pihak keselamatan bahawa ada segelintir pihak berkeras mahu menunaikan solat Jumaat hari ini.

“Alasan mereka kerana ada hadis menyebut bahawa sesiapa tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali, maka ia termasuk dalam golongan munafik.

“Kami ingin tegaskan, bahawa apa yang didakwa ini adalah suatu salah faham yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkifli berkata, benar terdapat hadis sedemikian tetapi ia perlu dibaca secara menyeluruh.

“Golongan yang dicap sebagai munafik itu adalah mereka yang meninggalkan tiga kali solat Jumaat dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran.

“Sedangkan situasi yang berlaku sekarang adalah umat Islam berada dalam keadaan darurat kesihatan disebabkan penularan wabak penyakit berjangkit koronavirus baharu (Covid-19),” katanya.

Beliau berkata, dengan rendah diri, pihaknya merayu seluruh umat Islam di negara ini kekal meletakkan kepatuhan tinggi terhadap arahan kerajaan dan fatwa pihak berkuasa agama.

“Sesungguhnya kita semua mahu segera keluar daripada kemelut pandemik ini, namun ia memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak terutama diri kita sendiri,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 4:49 PM