BAZAR Ramadan di Pulau Pinang dibatalkan tahun ini.  FOTO NSTP
BAZAR Ramadan di Pulau Pinang dibatalkan tahun ini. FOTO NSTP
Zuhainy Zulkiffli


KERAJAAN negeri Pulau Pinang mengumumkan pembatalan penganjuran bazar Ramadan di negeri itu sebagai usaha mengekang penularan Covid-19.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat, hari ini selepas mengambil kira keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Pada mesyuarat pagi tadi, kita memutuskan pembatalan penganjuran bazar Ramadan di seluruh negeri Pulau Pinang bagi mengekang penularan wabak (Covid-19),” katanya di Georgetown, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Chow berkata sebanyak 1,392 penerima bantuan am negeri Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang sudah menerima bantuan itu secara ‘one-off’ sebanyak RM500 bermula hari ini dan 10 April bagi penerima bantuan persekutuan JKM.

Katanya, bantuan sebanyak RM500 kepada penjaja juga sudah disalurkan kepada penerima bermula hari ini berbanding 15 April depan seperti yang diumumkan sebelum ini, dan dijangka dapat disempurnakan dalam tempoh tiga hari.

“Turut mendapat manfaat ialah pemandu pelancong dan pengusaha bas yang sudah menerima bantuan sejak semalam, selain kepada penarik beca pada minggu ini.

“Kita menyasarkan kesemua penerima akan mendapat bantuan masing-masing menjelang minggu kedua April,” katanya.

Terdahulu, Chow turut mengucapkan tahniah kepada rakyat negeri ini yang patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tidak menunaikan solat Jumaat bagi orang Islam, dan tidak menziarahi kubur keluarga masyarakat Cina semasa perayaan memperingati roh, Cheng Beng.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 5:12 PM