GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

JABATAN Kesihatan Terengganu menafikan kenyataan tular di aplikasi WhatsApp kononnya ada 30 kes jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) di Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu, yang didakwa berpunca daripada satu majlis tahlil.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus dalam satu kenyataan malam ini, berkata sehingga hari ini, tiada kes Covid-19 yang dikesan berlaku di kampung itu dan berharap orang ramai segera berhenti menyebarkannya.

“Sehubungan itu, kami menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada sumber maklumat sahih yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tidak menularkan sebarang berita tidak benar yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai juga diminta supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berjalan di samping mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, kerap mencuci tangan, etika batuk yang betul dan penjarakan sosial bagi mengawal penularan Covid-19,” katanya.

Dalam mesej yang tular itu, kononnya 30 ahli keluarga terdekat kepada seorang pesakit Covid-19 perlu dikuarantin di Chendering di Kuala Terengganu dan KKM akan mencari penduduk kampung yang menghadiri majlis tahlil itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 10:58 PM