PETUGAS khas Bilik Gerakan (Nerve Centre) Covid-19 USM, menyerahkan kit Maidaturrahman kepada penuntut. FOTO Ihsan USM
PETUGAS khas Bilik Gerakan (Nerve Centre) Covid-19 USM, menyerahkan kit Maidaturrahman kepada penuntut. FOTO Ihsan USM
Zuhainy Zulkiffli


PRIHATIN dengan kesan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19), Universiti Sains Malaysia (USM) mengagihkan kit barangan keperluan asas kepada warganya yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kit dikenali sebagai Maidaturrahman itu mengandungi keperluan barangan asas seperti beras, minyak masak, gula pasir, garam, kicap, sos dan barangan keperluan lain.

Penyelaras Bilik Gerakan Zulkifli Che Husin berkata, kit itu sudah mula diedarkan hari ini oleh petugas khas yang dikawalselia Bilik Gerakan (Nerve Centre) Covid-19 USM.

Katanya, mereka terbahagi kepada dua pasukan yang keluar membuat agihan kepada penuntut dan kakitangan USM di sekitar kawasan kampus termasuk, di Sungai Dua dan Jelutong.

“Kami sudah mendapat kebenaran daripada pihak PDRM bagi melaksanakan misi ini dan sejumlah 250 kit barangan sudah siap diagihkan.

“Sebanyak 100 daripadanya diagihkan kepada kakitangan dan selebihnya kepada penuntut tanpa asrama (PETAS),” katanya di Georgetown, hari ini.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata, kampus Kejuruteraan USM di Nibong Tebal juga turut menjalankan misi sama dengan mengagihkan 500 kit barangan keperluan pelajar seperti cecair nyahkuman, makanan kering, ubat gigi, pelindung muka dan sebagainya hasil sumbangan daripada pelbagai pihak yang prihatin.

Katanya, USM akan terus berusaha bagi memenuhi keperluan asas kepada warganya di samping menyeru lebih ramai warga kampus supaya bersama-sama membantu meringankan beban yang ditanggung khususnya penuntut dan kakitangan USM golongan B40.

“Ia adalah kesinambungan kepada pelbagai inisiatif lain yang sudah dilakukan USM termasuk penyediaan kupon makanan kepada pelajar dalam kampus, sesi e-kaunseling kepada yang memerlukan serta menganjurkan pelbagai aktiviti menarik yang bermanfaat untuk pelajar mengisi masa lapang mereka dan meredakan rasa kerisauan sewaktu berada di bilik dormitori masing-masing,” katanya lagi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 11:32 PM