GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Rafi Mamat


PERTUBUHAN Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) menyarankan hukuman perintah khidmat masyarakat dikenakan ke atas pesalah muda yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai pengajaran kepada golongan terbabit.

Presidennya, Datuk Zuhairi Ab Kadir berkata, hukuman itu dilihat lebih sesuai berbanding penjara kerana ia akan memberi kesan seumur hidup kepada pesalah juvana yang mempunyai rekod jenayah.

Menurutnya, golongan terbabit perlu diberi peluang kedua supaya tidak mengulangi kesalahan lalu dengan cara melakukan kebaikan kepada orang lain dalam tempoh tertentu.

“Saya berpendapat penjara bukanlah penyelesaian yang sesuai bagi setiap individu kerana individu terbabit mungkin menjadi harapan keluarga dan ada yang gagal membayar denda disebabkan keluarga miskin.

“Jadi pihak berkuasa sewajarnya memandang serius kesan seumur hidup kepada mereka selepas mempunyai rekod banduan kerana insiden terbabit,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, kini jumlah mereka yang didakwa di mahkamah kerana melanggar PKP semakin meningkat, ramai pesalah muda dikenakan hukuman penjara kerana gagal menjelaskan denda.

Zuhairi berkata, mereka didakwa mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Katanya, Rabu lalu, Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan menyatakan seramai 378 individu kini menjalani hukuman penjara kerana melanggar PKP.

Menurutnya, tindakan meletakkan pesalah muda dalam penjara akan menjarakkan mereka dengan masyarakat dan boleh membawa impak yang negatif kepada pesalah dari segi psikologi sepanjang menjalani hukuman itu.

“Kesalahan dilakukan golongan remaja masih dianggap kecil jika dibandingkan dengan kesalahan jenayah lain yang lebih berat, saya berharap supaya mahkamah menyemak semula hukuman yang dikenakan kerana masih ada alternatif selain memenjara bagi memberi kesedaran kepada golongan terbabit.

“Bukanlah asing dalam sistem keadilan jenayah tanah air perintah khidmat masyarakat, tetapi ia perlu diperluaskan kepada pesalah lain mengikut kesesuaian.

“Hukuman berkenaan juga dapat mewujudkan ruang bagi pesalah muda membuat pemulihan akhlak sekali gus memberi faedah kepada masyarakat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 1:35 PM