X
STANLEY Jonathan Ringgit. FOTO Ihsan Polis
STANLEY Jonathan Ringgit. FOTO Ihsan Polis
Norsyazwani Nasri


PENGUSAHA sarang burung walit menjadi mangsa terbaru sindiket penipuan pinjaman yang tidak wujud membabitkan nilai kerugian sebanyak RM10,960.

Ketua Polis Daerah Sibu,Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa lelaki berusia 38 tahun melayari laman sosial Facebook dan tertarik dengan iklan pinjaman atas talian sebanyak RM15,000 bagi tujuan pusingan modal perusahaan sarang burung walit yang diusahakannya.

“Mangsa kemudian menghantar pesanan ke akaun Facebook terbabit pada 24 Mac lalu, dan selepas itu menerima pesanan ringkas yang mengatakan pinjamannya diluluskan.

“Bagaimanapun, mangsa diminta untuk membuat pembayaran bagi proses kelulusan pinjaman terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Stanley berkata, tanpa was-was pada 30 Mac lalu, mangsa membuat bayaran ke dalam akaun bank atas nama seseorang sebanyak RM760.

“Mangsa juga membuat pembayaran secara berperingkat iaitu sebanyak empat kali pembayaran berjumlah RM10,200 bermula 31 Mac hingga 2 April lalu. Bagaimanapun, mangsa tersedar bahawa dirinya telah ditipu apabila diminta untuk membuat pembayaran berjumlah RM900 lagi.

“Mangsa kemudian tampil membuat laporan untuk siasatan pihak polis. Modus operandi ialah suspek memperdayakan mangsa untuk memasukkan wang ke dalam akaunnya bagi mendapatkan pinjaman wang yang tidak wujud. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 2:57 PM