X
WARGA asing Desmawati Mohd Nor (kiri), Elpa Dayanti (kanan).
WARGA asing Desmawati Mohd Nor (kiri), Elpa Dayanti (kanan).
Nurul Hidayah Bahaudin


PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kebanyakan warga asing di negara ini terpaksa berjimat sepanjang tempoh berkenaan.

Suri rumah, Elpa Dayanti, 37, berkata, dia bersama suaminya yang juga warga Indonesia terpaksa menggunakan wang simpanan sepanjang tempoh itu.

“Ketika ini, suami yang bekerja sebagai buruh binaan sedang cuti. Kami terpaksa menggunakan wang simpanan untuk bekalan makanan kami bersama empat anak.

“Malah, kami juga perlu membayar sewa rumah di Gombak. Ketika ini, hanya anggaran RM200 sahaja wang perbelanjaan yang tinggal.

“Saya tidak tahu apa nasib yang akan berlaku kepada kami sekeluarga sekiranya PKP dilanjutkan lagi ” katanya ketika ditemui di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur.

Seorang lagi warga Indonesia, Desmawati Mohd Nor, 47, berkata, pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pembantu kedai di pasar malam juga terjejas kerana kedai berkenaan ditutup ketika ini.

“Saya bimbang kerana punca pendapatan suami sudah tiada selepas dia diarahkan bercuti memandangkan tiada pasar malam dibuka.

“Bagi menjimatkan perbelanjaan, saya hanya membeli barang yang benar-benar diperlukan sahaja supaya tidak membazir kerana kita tidak tahu berapa lama perintah ini (PKP) berkuat kuasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 3:00 PM