KEADAAN Tambak Johor lengang hari ini ekoran Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Omar Ahmad
KEADAAN Tambak Johor lengang hari ini ekoran Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Omar Ahmad


SINGAPURA disaran supaya memberi bantuan saringan Covid-19 secara percuma kepada pekerja Malaysia yang mahu pulang ke tanah air.

Ia selepas beberapa perkhidmatan di republik itu dihadkan ekoran negara itu akan melaksanakan pemutus litar bagi mengekang penularan wabak selama sebulan bermula 7 April ini.

Saranan itu disuarakan Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan Michael Tay Chee Boon.

Katanya, dengan pemberian percuma saringan kepada pekerja Malaysia yang bekerja bukan dalam sektor perkhidmatan penting ini, ia sekali gus membantu pihak majikan Singapura.

“Kita minta mereka sediakan saringan kesihatan Covid-19 ini secara percuma kepada rakyat kita yang terjejas serta mahu pulang ke tanah air.

“Saya rasa, dengan keadaan tiada pekerjaan selama sebulan bagi sektor lain, sukar untuk mereka bertahan di sana, malah saya juga percaya dalam tempoh itu tiada majikan yang sanggup membiayai tempat tinggal mereka.

“Sekiranya Singapura memberi saringan ini, majikan mereka juga tidak terbeban untuk menanggung kos pekerja di sana,” katanya dihubungi.

Namun katanya, kepulangan pekerja ini perlu mengikut prosedur yang ada bagi mengekang penularan Covid-19.

“Sekiranya keputusan saringan kesihatan Covid-19 mereka negatif, mereka boleh pulang.

“Tetapi jika sebaliknya, elok berada di lokasi mereka berada sekarang untuk dikuarantin dan ia turut membantu kita memutuskan rantaian wabak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 3:12 PM