NOORAZEAN bersama suami, Nurazlan dan anak mereka, Nur Firas Zafran ketika berada di wad. FOTO ihsan Norazeean Tahir
NOORAZEAN bersama suami, Nurazlan dan anak mereka, Nur Firas Zafran ketika berada di wad. FOTO ihsan Norazeean Tahir
Redzuan Muharam


IBARAT jatuh ditimpa tangga. Begitu situasi dilalui Norazeean Tahir apabila bapanya meninggal dunia akibat Covid-19 pada 25 Mac lalu sebelum, dia sekeluarga dikuarantin kerana dikhuatiri dijangkiti pada hari berikutnya.

Lebih menyedihkan apabila ibu seorang anak itu tidak dapat menatap wajah arwah bapanya, Tahir Maruwan buat kali terakhir kerana dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang , Johor pada hari sama selepas menerima keputusan ujian saringan pertama yang dilakukan pada 24 Mac.

Norazeean, 33, berkata, apa yang berlaku amat menyedihkan kerana dia rapat dengan bapanya sejak kecil lagi tetapi hanya dapat melihat urusan pengebumian menerusi video dikirimkan adik beradik lain.

Menurutnya, suami, Nurazlan Md Warap, 36, anak, Nur Firas Zafran, 14 bulan, dan ibunya, Norini Soudar, 60, turut dikuarantin tetapi ditempatkan di Hospital Permai, Johor Bahru.

Namun, Norazeean dan Nur Firas sudah dibenarkan pulang ke rumah, petang semalam selepas disahkan negatif pagi kelmarin manakala suami serta ibunya masih menunggu keputusan ujian saringan masing-masing.

Berkongsi pengalamannya , Norazeean mengakui sedih sebaik dimaklumkan doktor mengenai keputusan ujian saringan kerana bimbang dengan kemungkinan dijangkiti wabak itu.

“Mula-mula memang hilang semangat dengan ujian ini tetapi mengenangkan anak yang masih kecil, saya cuba lawan perasaan itu dengan tidak terlalu memikirkan mengenai penyakit kerana menyedari, ajal dan maut ketentuan tuhan.

“Bagi saya, kita harus berikhtiar selagi hidup. Pengalaman di wad agak mencabar pada tiga hari pertama kerana perlu memantau anak sendiri tanpa suami tetapi keadaan semakin baik selepas kami diletakkan di wad sama selepas itu.

“Cuma, tiada apa yang boleh kami lakukan melainkan berehat dan berhubung dengan ahli keluarga lain menerusi WhatsApp dan panggilan telefon kerana pergerakan terbatas di dalam wad,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Di sebalik ujian itu, Norazeean bersyukur kerana menerima kata-kata semangat daripada rakan dan warganet sejurus perkongsiannya di Facebook baru-baru ini tular di laman sosial.

Katanya, dia sendiri tidak menyangka perkongsiannya itu mendapat perhatian kerana tujuan sebenarnya adalah untuk mengingati tarikh penting yang tidak dapat dilupakannya.

“Perkara yang saya tidak sangka berlaku sepanjang adalah apabila ramai mendoakan saya sekeluarga sembuh.

“Terima kasih kepada yang mendoakan dan memberi semangat. Hanya Allah saja dapat membalasnya.

“Untuk pesakit lain yang masih menunggu keputusan, jangan putus asa kerana masih ada harapan dan banyakkan berdoa kepada Allah,” katanya.

Ditanya perancangannya selepas ini, Norazeean bercadang melawat pusara bapanya selepas keadaan kembali stabil dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

“Selepas dibenarkan keluar dari hospital, saya dan anak terus dibawa pulang ke rumah ibu di Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam dengan menaiki ambulans.

“Meskipun begitu, kami berdua tetap perlu menjalani kuarantin dan saya berharap ibu dan suami dibenarkan pulang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 3:22 PM