MUHAMMAD Alif. FOTO IHSAN PEMBACA
MUHAMMAD Alif. FOTO IHSAN PEMBACA


RAMAI pekerja Malaysia di Singapura yang bekerja dalam sektor selain perkhidmatan penting dijangka pulang susulan langkah lebih tegas diambil republik itu untuk memutuskan litar penularan Covid-19.

Pekerja restoran di Singapura, Muhammad Alif Omar, 26, berkata, setakat ini tiada kenyataan atau arahan daripada kerajaan republik itu yang meminta pekerja Malaysia untuk pulang ke tanah air susulan pelaksanaan langkah tegas berkenaan.

Katanya, ketika ini, difahamkan rakyat Malaysia yang mungkin diberhentikan kerja atau terjejas dibenarkan pulang dengan beberapa syarat.

“Mereka (rakyat Malaysia) hendaklah mempunyai surat daripada syarikat dan surat kesihatan dari klinik terpilih serta melakukan saringan. Jika keputusannya negatif, mereka diminta mengemukakan dua dokumen ini kepada pihak berkuasa republik ini untuk pulang ke Malaysia.

“Setakat ini kerajaan Singapura tidak memaklumkan apa-apa tentang perkara itu (mengenai rakyat Malaysia untuk pulang), namun semuanya bergantung Isnin ini (6 April). Ketika itu, mungkin ada maklumat daripada kerajaan Singapura.

“Berdasarkan apa yang dimaklumkan petang semalam, hanya perkhidmatan penting sahaja yang akan beroperasi. Mungkin sebahagian daripada kami yang bukan tergolong dalam perkhidmatan penting akan pulang ke Malaysia sebelum 7 April,” katanya dihubungi.

Bagi pekerja restoran makanan segera, Nur Marliyana Romli, 26, premis menjual makanan akan dibuka tetapi waktu operasi mungkin dipendekkan dan perkhidmatannya pula membabitkan makanan bungkus sahaja.

Katanya, daripada segi pekerja, majikan biasanya akan meminta pekerja tetap untuk mengambil cuti tanpa gaji dan jadual pekerjaan akan dibuat secara bergilir.

“Setakat ini majikan tidak paksa untuk teruskan bekerja atau kembali ke Malaysia tetapi pekerja akan diminta mengambil cuti tanpa gaji.

“Contoh, pasukan A akan bekerja hari ini dan pasukan B akan ambil cuti tanpa gaji. Ia dilakukan secara bergilir.

“Bagi sektor perkhidmatan penting, mereka yang memilih untuk pulang boleh melakukannya. Bagaimanapun, ada risikonya yang mana permit kerja mereka akan terbatal secara automatik apabila cuti melebihi 14 hari.

“Ada banyak kemungkinan untuk mereka yang tidak terbabit dalam perkhidmatan penting akan pulang. Ini kerana, untuk bertahan di sini tanpa pekerjaan memang amat sukar,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan beberapa peraturan bagi tujuan pemutus litar (circuit-breaker) bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Antaranya, tempat kerja di republik itu akan ditutup mulai Selasa ini.

Sekolah pula akan melaksanakan sepenuhnya pembelajaran di rumah bermula Rabu ini.

Kedua-dua langkah ini akan berlangsung sehingga 4 Mei.

Namun perkhidmatan penting seperti penjualan makanan di pasar raya dan kedai, pengangkutan awam serta penjagaan kesihatan akan kekal beroperasi.

Jarak selamat yang dipertingkat itu adalah langkah paling tegas diambil Singapura sejauh ini bagi mengatasi trend kes jangkitan Covid-19 setempat yang meningkat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 3:34 PM