MAZLI Mazlan (kiri) bersama Habibi Majinji memeriksa sebuah kenderaan ketika melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Inanam, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
MAZLI Mazlan (kiri) bersama Habibi Majinji memeriksa sebuah kenderaan ketika melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Inanam, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


KESEDARAN orang ramai di Sabah semakin meningkat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu sebagai usaha kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, setakat semalam, rekod pematuhan PKP menunjukkan pada tahap 96 peratus.

Menurutnya, berbanding pada tahap pertama orang ramai memberi alasan untuk keluar pada waktu malam dengan pelbagai alasan yang tidak kukuh.

“Tetapi pada tahap kedua ini, kesedaran semakin ketara kalangan orang ramai apabila menunjukkan kehadiran mereka sebelah malam berkurangan kecuali bagi mereka yang terbabit dengan perkhidmatan perlu (essential services).

“Apa yang kita lihat malam ini (semalam) dan hasil laporan daripada pegawai di lapangan di Sabah khasnya di Tuaran, Penampang dan Kota Kinabalu, mendapati pematuhan dan penerimaan rakyat kini begitu baik,” katanya kepada media ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Inanam, di sini, malam tadi

.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Mazli berkata, masyarakat sudah sedar betapa pentingnya PKP ini untuk membantu kerajaan memutuskan rangkaian penyebaran Covid-19 daripada terus merebak.

“Tahap kedua ini akan mengarah kepada pematuhan yang lebih tinggi dan kita berharap orang ramai akan terus memberi sokongan terhadap dasar PKP yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Kita berharap juga supaya rangkaian Covid-19 ini dapat dihapuskan dengan seberap segara untuk kepentingan negara kita juga,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sistem penyampaian di lapangan iaitu di semua sekatan jalan raya ditambahbaik demi mencapai pelaksanaan untuk memutuskan rangkaian Covid-19.

“Tambahan untuk polis dan pasukan keselamatan lain yang bertugas, kerajaan mengeluarkan butiran peruntukan untuk menambahbaik sistem penyampaian di lapangan di sekatan jalan raya dengan keperluan logistik yang lebih baik.

“Kerajaan begitu mengambil berat berkenaan keperluan petugas kita perlukan untuk memastikan mereka dilengkapi dengan keperluan bagi melindungi keselamatan dan kesihatan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 3:36 PM