Gambar fail, PPR Batu Muda antara kediaman yang turut mempunyai JMB. FOTO Asyraf Hamzah.
Gambar fail, PPR Batu Muda antara kediaman yang turut mempunyai JMB. FOTO Asyraf Hamzah.
Amir Abd Hamid


KERAJAAN membenarkan jawatankuasa pengurusan bersama (JMB) kediaman berstrata untuk bekerja dengan had kepada dua orang sahaja.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat khas menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Katanya, ia juga mengambil kira tiada kesulitan atau masalah timbul dalam pengurusan kediaman berstrata.

“Bagi memudahkan pengurusan premis kediaman berstrata, mesyuarat hari ini bersetuju untuk benarkan pengurusan beroperasi sepanjang tempoh PKP.

“Bagaimanapun, kelulusan ini hanya membenarkan dua daripada jawatankuasa pengurusan untuk bekerja dan menyelia hal ehwal kediaman berstrata,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, operasi nyah cemar sudah dilaksanakan di 38,140 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, unit PPR adalah antara yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi penularan wabak virus Covid-19.

“Secara keseluruhan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah melaksanakan Ops Sanitasi Awam di 426 kawasan, membabitkan 11 negeri semalam.

“Ia termasuk 170 balai polis dan 38,140 unit PPR yang juga dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi penularan Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 3:52 PM