SUKARELAWAN Tanoti House menghasilkan PPE untuk HUS. FOTO MELVIN JONI
SUKARELAWAN Tanoti House menghasilkan PPE untuk HUS. FOTO MELVIN JONI


MESIN jahit dan kelincahan jari menjadi senjata terbaru untuk memerangi Covid-19 di Tanoti House, Jalan Tabuan, Kuching apabila sukarelawannya membuat pelbagai jenis peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk barisan hadapan perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS).

Pengarah Tanoti House, Jacqueline Fong berkata projek itu dilancarkan selepas mereka mendengar kekurangan PPE di HUS, menyebabkan kakitangan perubatan tidak dilengkapi dengan alat perlindungan yang cukup untuk melindungi diri ketika menjalankan tugas.

“HUS menggunakan purata 500 keping PPE setiap hari, jadi kami memutuskan untuk mencuba dan melihat sama ada kami boleh menjana barangan yang mencukupi untuk hospital bagi memastikan stok PPE mereka berada pada tahap selesa supaya mereka dapat berhadapan kes Covid-19 dengan tenang.

“Objektif kami adalah untuk memastikan kakitangan perubatan kita dilindungi dan saya yakin sumbangan ini akan cukup bagi membantu mereka menangani krisis wabak ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

SUKARELAWAN Tanoti House bersengkang mata menghasilkan PPE. FOTO MELVIN JONI
SUKARELAWAN Tanoti House bersengkang mata menghasilkan PPE. FOTO MELVIN JONI

Menurutnya, sejak projek itu bermula pada Sabtu lalu, sukarelawannya telah berjaya menghasilkan hampir 900 pasang penutup ‘boot’ dan lebih 300 keping penutup kepala.

“Kami mendapatkan bahan dari pembekal di Kuching kerana itu adalah yang paling mudah. Kain ini adalah bahan gred klinikal dan ia kalis air, tahan haba dan untuk satu penggunaan sahaja.

“Inisiatif kami juga mendapat sambutan dan sokongan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat. Kami sangat teruja dengan semangat masyarakat di Kuching yang tampil dan menyatakan minat mereka untuk membantu kami menjahit PPE,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 4:14 PM