GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


SEBANYAK 1,545 kes positif jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) adalah dari kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, pada 27 Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan 44.36 peratus daripada jumlah keseluruhan sebanyak 3,483 kes yang dilaporkan setakat ini.

Katanya, daripada 150 kes baharu yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini, 80 kes adalah berkaitan kluster terbabit.

“Kluster itu adalah terbesar setakat ini dan mempunyai beberapa generasi kluster jangkitan misalnya membabitkan ahli keluarga, kontak rapat di masjid dan madrasah tahfiz.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain bagi mengenal pasti dan menguji semua kontak rapat kalangan kumpulan berisiko tinggi itu,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang menghadiri atau mempunyai kontak rapat dengan mereka yang menghadiri perhimpunan berkenaan supaya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.

“Seperti dimaklumkan, tempoh dua minggu fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah amat penting yang mana kerjasama semua pihak diperlukan bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menasihati orang ramai supaya duduk di rumah dan sentiasa mengamalkan etika kebersihan serta penjarakan sosial.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 5:51 PM