LORI yang merempuh kon polis. FOTO IHSAN POLIS
LORI yang merempuh kon polis. FOTO IHSAN POLIS

TIGA beranak ditahan polis apabila lori yang dipandunya bapa mereka merempuh kon dan papan tanda polis di sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Setia Jaya, Merang, Setiu, hari ini.

Kejadian berlaku 9.30 pagi apabila pemandu lori 10 tan berusia 67 tahun dari Pasir Puteh, Kelantan mendakwa tertidur sebelum melanggar pemeriksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbabit.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, kejadian itu tidak mengakibatkan kecederaan kepada empat anggota keselamatan yang bertugas di SJR berkenaan.

Katanya, dua anggota bertugas membuat kawalan, manakala dua lagi berada di tepi jalan.

“Dua anggota yang bertugas membuat kawalan tidak cedera apabila mereka sempat melarikan diri ke tepi jalan sebelum kenderaan terbabit melanggar kon dan papan tanda yang dipasang di kawasan itu,” katanya.

Menurutnya, akibat kejadian beberapa peralatan SJR rosak selain turut mendatangkan ketakutan kepada dua anggota yang bertugas pada masa itu.

Katanya, lori berkenaan yang dalam perjalanan menghantar barang ke Kuala Terengganu memberhentikan kenderaan terbabit kira-kira 100 meter dari lokasi selepas kejadian berlaku.

“Hasil siasatan awal pemandu lori terbabit mengaku tertidur sebaik tiba di kawasan berkenaan.

“Suspek bersama dua anaknya berusia 35 serta 21 tahun ditahan dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok (Ahad),” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 26(2) Akta Polis 1967.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 5:54 PM